Pagi tadi aku terjaga daripada tidur dalam keadaan hiba. Cuba ku pisahkan realiti dengan mimpi namun pengakhirannya cukup menyedihkan. “Ji….abah dah takde..….”. Spontan aku lafazkan kata-kata tersebut. Tiada air mata seperti kebiasaan. Dah beberapa kali abah muncul dalam mimpi aku. Tak pasti apa maksud di sebalik mimpi-mimpi tu. Malam tadi, aku sempat memeluk dan mencium pipi abah aku (sesuatu yang aku jarang lakukan dalam hayat abah) dalam keadaan yang sangat menghibakan. Bila aku bangun tidur, aku yakin dan pasti abah masih ada, namun dipatahkan keyakinan itu dalam beberapa saat sahaja. Sedih…
Seingat aku, figura seorang ayah dalam alam kecil ku jarang dipertontonkan disebabkan abah berkerja nun jauh di puncak sana, dan kemudian berkerja di Subang sebagai pemandu teksi, maka jarang sekali abah akan berada di rumah. Tinggallah aku dirumah bersama mak aku. Setelah aku masuk ke tingkatan satu dan tinggal di asrama, barulah abah duduk sekali di kampung berkerja sebagai penoreh getah. Situasi-situasi tersebut menyebabkan aku tidak terlalu rapat dengan abah (dan itu merupakan sesuatu yang amat aku kesali)
Abah sanggup melakukan apa sahaja demi menyara kehidupan kami. Abah tidaklah berpelajaran tinggi namun syukur, anak-anak abah kini berjaya dalam kehidupan masing-masing. Kesal, abah tak dapat melihat itu semua. Alangkah bahagianya jika abah dapat melihat di mana aku berdiri ketika ini……..
Raya baru-baru ini, aku berkesempatan menziarahi adik beradik abah aku. Salah seorang adik abah aku duduk sebelah aku dan bercerita mengenai zaman silam kenangan dia bersama abah aku.
“Abah kau tu , hati dia lah yang paling baik diantara adik beradik. Memang mulut dia bising, tapi hati dia baik. Masa Pak Tam kecik-kecik dulu, abah kau la yang menguli tepung nak buat roti canai nak bagi adik-adik dia makan. Sanggup balik sekolah awal daripada adik beradik lain sebab nak bagi adik-adik dia makan. Abah kau tu, makanan dalam mulut pun dia sanggup keluarkan balik nak bagi adik-adik dia makan…”
Aduhh….hampir menitik air mata aku masa dengar cerita tu tapi aku cuba tahan. Betapa hebatnya abah aku dipandangan mata dia. Abah tak pernah berkira dengan anak-anak dia. Menjadi anak bongsu, cukup beruntung buat aku. Segala kehendak diperolehi. Tapi aku tak berkesempatan memulangkan semua itu pada abah……………
I’m not good showing my love but i really do care! Kini, tinggal emak untuk aku berjasa, seorang figura yang banyak berkorban setelah kehilangan abah. Emak lagi hebat daripada kami semua sebab emak lebih lama mengenali abah. Kehilangan abah merupakan kehilangan terbesar buat emak…
Buat Abah..hanya Al-Fatihah yang mampu anakmu berikan kepada Abah di alam sana. Akanku berdoa kesejahteraan abah dan semoga kita sekeluarga dapat berjumpa dan bersatu kembali di akhirat kelak…Amin…
Al Fatihah… Hj Sabtu bin Karim @ Md Isa