Archive for August, 2009

Nostalgia Ramadhan

Haaaa….kali ni bukan sambungan kisah pemuda berbaju pink tu. Draft pun takde. Idea menerawang entah kemana-mana. Bersempena dengan kehadiran bulan penuh keberkatan ini, rasa macam nak korek-korek balik nostalgia pengalaman aku berpuasa. Hakikatnya tak banyak yang aku ingat atau yang betul-betul aku ingat. Aku lambat belajar puasa. Mungkin masa tingkatan 1, masa aku mula tinggal di asrama. Semua orang berpuasa, sah-sahla aku kene puasa jugak. Masa darjah 5, masa tu sekolah agama, waktu petang, aku dengan selamba je makan ais-krim depan budak-budak lain yang mungkin berpuasa hahaha. Tapi kelibat seorang budak ni, Apai namanya , report kat ustazah kata aku tak puasa membawa padah. Kene pulak dengan ustazah yang paling garang, Ustazah Raha. Aku dipanggil ke depan kelas dan dicubit di bahagian data sambil memberi peringatan berikut “Kalau awak tak nak puasa, tak perlulah nak tunjuk dengan kawan-kawan yang lain. Dah cukup gangster lah tu?”. Arghhh geramnya aku tapi memang salah aku kan. Selesai kelas, aku terus tarik Apai ke belakang kelas dan menumbuk tepat kemuka dia. Berdarah jugakla gigi dia. Padan muka (Ehhhhhh terlebih pulak fantasi aku. Bab tumbuk-menumbuk tu hanya rekaan semata-mata)

Pernah jugak mulut kecil ini celupar dengan mak ayah aku pasal puasa ni. Masa tu kecik lagi la. Sehari sebelum raya, abang-abang aku sibukla buat lemak, rendang semuanyalah kat belakang rumah. Mestilah penatkan..dahla puasa…kenelah pulak jaga api buat lemang tu. Abang aku bukaklah puasa sebab dah tak tahan katenyee….. So aku tanyalah mak aku, boleh tak kalau aku nak bukak puasa. Tapi mak tak bagi…pastu aku cakap arr…. “Habis tu abang tu boleh bukak? Mak ni pilih kasih arr…” . Saling berpandangan mak ayah aku masa tu (seingat aku lah). “Sampai hati cakap macam tu…”. Ala masa tu budak-budak. Cepat sangat terpengaruh dengan skrip-skrip drama swasta yang biasa ditonton kat TV1. Ampun……!!!

1st day puasa kt matrikulasi sangat sadis dan eksotik. Aku dengan Addin lambat siket pergi ke café sebab malas nak berasak-asak. Bila sampai je café, makcik tu dengan bercucuran air mata kata kat kitaorang nasi dah habis. Kene tunggu. Aku masa tu dah la macam sedih je sebab 1st puasa jadi macam tu. Kitaorang balikla bilik dulu bancuh cordial buat juadah batal puasa. Pas solat, kitaorang pergi balik café dan menikmati keenakkan nasi putih yang sudah habis tu. Hai..macam-macam dugaanya

Kat UKM plak, aku, amiruddin, dengan saleh pergilah bazar Ramadhan masa 1st day puasa. Hujan selebat-lebat umat. Gigihlah berlindung dibawah lembayung atap-atap plastik penjaja tu. Owhh…kalau kat Bangi ni, bazar ramadhan dia memang mervelous laaa…penat woo nak rayau. Best giler! Aku kalau ada motor, tersangatlah gigih kalau nak pergi bazar2 ni..tapi kalau bawak kereta tu, minta maaflah ye. Tidaklah bernafsu. Jem yang amat dan aku tidaklah tergolong dalam insan yang gigih menempuh kesukaran itu untuk mendapatkan nasi goreng ayam berempah terbaik!

Tahun  ni, agak suram sikit bulan puasa kali ni. Kalau tahun lepas aku ada Fahmi, member yang boleh dibuat teman masa berbuka. Tahun ni, rasanya mustahil aku akan bergelak ketawa bersama-sama housmate aku untuk berbuka bersama-sama. Plan aku, makan kurma, sembahyang maghrib dulu, pastu baru makan bertemankan gilmore girls musim ke-2 ataupun grey’s anatomy season ke-3. Hujung minggu baru gigih bersama teman berbuka bersama-sama ataupun lepak rumah abang aku yang terbukti mempunyai isteri yang sangat handal masakannya. Yeaahhhaaa!

Apapun, aku nak ucapakan selamat berpuasa dan aku nak mohon ampun dan maaf jika terdapat penulisan kat sini mengguris hati yang lain. Kalau rasa-rasa nak ajak berbuka sama-sama, jangan malu-malu invite aku yang tak beberapa nak malu ni. Okeh?

Comments (6) »

Kisah Pemuda Berbaju Pink…..Siri II

…..Asrul banyak menjaga aku. Terlalu berbudi pemuda ini dalam kehidupan aku. Dialah orang pertama yang aku “call” saat kematian arwah abah aku ketahui. Dia jugalah yang menolong keluargaku di Melaka bila tahlil arwah dilakukan. Aku turut mengajar dia pergi menonton wayang. “Charlie Angels:Full Throttle” merupakan filem pertamanya. Asrul jugalah yang berjaya mempengaruhi aku untuk berkopiah bila ke kuliah dan menyertai kumpulan Tabligh. Aku hampir-hampir keluar dari liang hitam yang sehingga kini menghantui hidup aku. Abang aku sangat suka kehadiran pemuda ini dalam ruang lingkup sahabat aku. Dia tahu pemuda ini mampu membimbing aku ke jalan yang benar (walaupun ada beberapa rakan yang tidak bersependapat dengan aku).

Bila tiba semester ke-2, Aizat telah membeli motosikalnya sendiri. Maka, kami tidak lagi bersama-sama untuk ke kuliah. Hanya aku dan Asrul menggunakan motor tu. Sedikit demi sedikit, Aizat mula keluar mencari jalannya sendiri walaupun kami tinggal dalam kolej yang sama. Hakikatnya, aku dan Asrul turut mencari haluan masing-masing. Bosan? Aku sendiri tak pasti. Asrul mula melibatkan diri secara aktif dalam persatuan-persatuan bercorak spiritual tapi tidak aku. Bukanlah aku menolak cuma ia bukan untuk aku. Ketika itu, aku menjadi ketua editor bagi buletin kolej, yang mana ia bakal menjadi buletin pertama yang diterbitkan oleh kolej kami. Oleh sebab itu, aku lebih rapat dengan Razif, teman sekuliah yang bersifat antagonis jika dibandingkan dengan Asrul.

Asrul aku lihat terlalu aktif berpersatuan sehingga banyak persoalan ditimbulkan terutamanya berkaitan dengan pelajarannya. Aku sedikit sebanyak terpengaruh dengan persoalan itu tapi tiada apa yang aku lakukan. Maaf sahabat…tapi aku sangat bangga dengan apa yang kamu sudah miliki kini…..

Semester 2 merupakan semester kehancuran buat aku. Aku masih gagal mengadaptasi kehidupan sebagai seorang  siswazah. Tidak fokus dan lebih banyak bergembira. Tidak sedar perbuatan itu memakan diri. Walaupun titis-titis jernih mengalir bila mendapat keputusan peperiksaan akhir semester 1, tapi ia tidak mengejutkan aku daripada mimpi yang kian panjang. Semester pertama yang sepatutnya boleh mencapai 3.5 ke atas, aku 3.0 pun tak lepas. Betapa hampanya aku. Aku hampir-hampir menemui titik kegagalan pada semester kedua. Keputusan akhir semester 2 telah mempengaruhi setiap keputusan akhir yang bakal aku perolehi untuk 3 tahun yang bakal mendatang……..

…..kisah semester paling pendek (+paling happy)…

CB058339

Comments (11) »

Kisah Pemuda Berbaju “Pink”….(Siri 1)

ukm

Sebenarnya, aku nak membongkar kembali pengalaman selama 4 tahun aku bermukim di sebuah institusi pengajian yang telah membawa aku ke satu tahap yang membanggakan. Tajuk di atas semata-mata kerana aku memakai baju “pink” saat aku menekan-nekan papan kekunci ini bagi menghasilkan “entry” terbaru ni.

Selepas tamat pengajian di matrikulasi, aku meneruskan sesi pembelajaran sepanjang hayat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang terletak di Bangi, Selangor. Walaupun pada awalnya aku berhajat menyambung pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM), Penang tapi dibantah keras oleh emak. Jauh katanya. Mungkin kerana keadaan kesihatan arwah abah pada saat itu tidak mengizinkan menyebabkan emak tidak senang dengan keputusan itu. Emak juga mungkin risau aku berseorangan di wilayah yang tiada satu pun saudara mara aku menetap di sana. Sudahlah jauh, ditambah pula dengan aku yang tidak bisa hidup berkendiri. Mungkin pertimbangan emak benar dan tepat atau mungkin segalanya akan berlainan jika aku meneruskan pembelajaran di sana?

Aku mengambil jurusan Kejuruteraan Komputer dan Komunikasi. Jujur aku berseloroh, aku tidak tahu mengapa jurusan itu yang aku pilih walhal aku lebih terarah kepada biding kimia. Aku terpesona dengan ikatan kovalen dan ionik yang menjadi asas kepada setiap “substance” yang wujud (walaupun aku masih gagal mengingati turutan “compound” yang wujud pada jadual berkala). Ahh..aku lebih memikirkan peluang kerjaya yang  lebih terbuka jika aku mengambil jurusan berkaitan dengan komputer. Pengaruh daripada ledakan Y2K mungkin.

Hari pendaftaran aku ditemani emak dan abang aku yang memang menetap di Bangi. Arwah abah tidak dapat menghantar aku kerana masalah kesihatan. Dah tak boleh berjalan jauh (tanpa disedari kurang 3 bulan sebelum arwah abah meninggalkan aku selamanya). Aku yakin, arwah abah bangga dengan aku walaupun tanpa ditutur jelas daripada mulutnya. Aku ditempatkan di Kolej Ibu Zain, sebuah kolej yang boleh dikatakan baru, gah tersergam di atas bukit. Bersyukur sangat dapat kolej sesempurna ini. Penghuninya tidak ramai dan yang paling aku rindui hingga sekarang, pemandangannya yang indah, melihat neon kuning menyala bila malam menjelma. Apatah lagi selepas hujan, mahu ditarik selimut itu ketat-ketat. Sejuk! Owh, kenangan terserempak dengan babi hutan dan pengalaman ngilu makanan dicurik monyet tidak ketinggalan…

kiz

Housemate aku, Bob pemuda berbadan “semangat” ini yang cukup ramah bila berbicara. Sangat popular, hingga dikenali setiap penghuni Kolej Ibu Zain(KIZ) namun tempias popularitinya langsung tidak mengenai aku. Aku kekal sebagai pelajar yang sederhana dan hanya selesa dalam lingkungan rakan sekuliahku. Rakan-rakan baik aku ketika itu Asrul, Aizat, Razif, Alip (walaupun sedikit lewat), Saleh, Amiruddin dan beberapa lagi rakan sekuliahku daripada berlainan jantina. Paling rapat saat itu Asrul dengan Aizatlah sebab kami bersama-sama ke kuliah, berkongsi sebuah motor Kriss hasil sumbangan ihsan abang aku. Memandangkan jarak kolej dan fakulti yang agak jauh, sekitar 1.5KM, manakala menaiki bas merupakan azab yang tiada kesudahan, mendapat kemudahan menunggang motor sudah cukup bertuah ketika itu.

Oleh kerana motor tu hanya sebuah, maka kami akan bergilir-gilir menggunakannya. Mujur waktu kuliah kami sama, jadi tidak banyak masalah yang timbul. Asrul lah yang sangat berbudi ketika itu, sanggup berulang-alik kali untuk mengambil aku dan Aizat. Biasanya dia akan menghantar aku dahulu ke kuliah sebab Aizat suka bangun lambat. Tidak terkira rasanya berapa kali tayar motor tu pancit. Namun, segala kepahitan yang kami ber-3 alami masa tu, sangat manis dikenang ketika ini. Transisi perubahan kepada persahabatan kami ber-3 bakal berubah bila semester-2 bermula……akan bersambung ♥♥

Comments (19) »